KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh mengulangi episod yang pernah berlaku di Indonesia pada 2015 apabila kepimpinan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) digoncang susulan tindakan terhadap Abraham Samad dan Bambang Widjojanto.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, sejarah membuktikan apabila kepimpinan agensi antirasuah diganggu ketika penguatkuasaan sedang agresif, pihak yang paling mendapat manfaat ialah kartel dan jaringan berkepentingan.
“Negara kini tidak boleh membiarkan situasi sama berulang sehingga melemahkan institusi penguatkuasaan negara.
“Jangan lemahkan panglima ketika perang sedang memuncak. Apabila tindakan mula menyentuh ‘jerung besar’, tentangan pasti menjadi luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Tan Sri Azam Baki yang menyaksikan pendakwaan terhadap tokoh-tokoh berprofil tinggi.
Menurut beliau, terdapat pola yang jelas termasuk serangan berulang di media sosial, manipulasi persepsi terhadap isu pentadbiran serta cubaan membingkaikan naratif krisis institusi.
“Ini bukan kebetulan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Indonesia akhirnya melalui fasa ketidakstabilan berpanjangan melibatkan KPK dan Malaysia tidak boleh mengambil risiko yang sama.
Katanya, tindakan drastik tanpa asas jenayah yang jelas hanya akan menghantar isyarat salah kepada perasuah, memberi kemenangan moral kepada kartel serta melemahkan semangat pegawai penyiasat.
“Selagi tiada pertuduhan jenayah dibuktikan di mahkamah, kepimpinan SPRM mesti terus berfungsi tanpa gangguan,” katanya.
Mengulas isu had pemilikan saham dan prosedur pentadbiran yang dibangkitkan, MCW berpandangan perkara tersebut tidak secara automatik merupakan kesalahan jenayah.
“Jika ada bukti rasuah, siasat dan dakwa. Jika tiada unsur jenayah, jangan jadikan isu pentadbiran sebagai senjata politik,” katanya.
Tambahnya, negara tidak boleh ditadbir berdasarkan desakan emosi atau tekanan siber semata-mata.
Mengulas lanjut, MCW menyatakan sokongan Azam Baki terus diberi ruang melaksanakan tanggungjawabnya termasuk menangkap perasuah tanpa mengira pangkat, membongkar kartel yang mengancam ekonomi negara serta memastikan penguatkuasaan tidak tunduk kepada tekanan.
“Jika ada pihak benar-benar mempunyai bukti salah laku, kemukakan melalui saluran sah. Tetapi menjerit tanpa bukti bukan keberanian,” ujarnya.
Menurut MCW, prinsip utama yang perlu dipertahankan ialah tiada siapa kebal daripada siasatan, namun institusi antirasuah juga tidak boleh dijadikan sasaran pelemahan strategik.
“Malaysia sedang berada pada fasa kritikal reformasi integriti. Melemahkan kepimpinan ketika operasi sedang berjalan hanya akan menguntungkan mereka yang terancam,” katanya.
MCW menegaskan momentum antirasuah mesti dipertahankan dan kartel tidak boleh diberi ruang bernafas.
“Jika ada kesalahan jenayah, buktikan di mahkamah. Jika tiada, hentikan manipulasi persepsi. Perjuangan melawan rasuah bukan medan politik, sebaliknya peperangan moral negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA