ALOR SETAR – Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim menyelar tindakan sebuah media berbahasa Cina yang disifatkan tidak profesional apabila menyiarkan dakwaan tular kononnya kedudukan Muhammad Sanusi Md Nor bakal digulingkan.
Beliau menegaskan dakwaan bahawa Menteri Besar Kedah itu akan dijatuhkan oleh seorang Exco daripada Bersatu dengan sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas adalah tidak benar dan langsung tidak masuk akal.
“Semalam bertalu-talu mesej masuk bertanya sama ada benar MB Sanusi akan ‘digulingkan’. Kepada yang bertanya, saya jawab soalan ini tak sepatutnya ditanya kerana jelas tak masuk akal langsung,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Menurutnya, spekulasi berkenaan hanyalah fitnah yang tular tanpa sebarang asas, namun tetap dipercayai dan disebarkan oleh segelintir pihak.
Muhamad berkata, beliau sengaja tidak menamakan Exco yang dikaitkan bagi mengelakkan fitnah terus diperbesarkan, sambil menegaskan hubungan antara pemimpin terbabit dengan Menteri Besar kekal baik.
“Walau siapa pun mereka, saya tahu mereka kesemuanya taat di bawah kepimpinan MB Sanusi sebagai ketua kerajaan negeri,” katanya.
Dalam masa sama, beliau membidas tindakan akhbar berbahasa Cina yang menurutnya menyiarkan dakwaan tersebut tanpa semakan sewajarnya, termasuk memaparkan ayat ‘Goodbye Sanusi’.
“Saya pernah berada dalam media selama 25 tahun dan hampir tiga tahun sebagai pengajar kewartawanan. Ini sesuatu yang cukup ironi bagi saya.
“Bukan tidak boleh menyiarkan info yang tular tetapi ada caranya, iaitu tentukan apa yang auta dan apa pula faktanya. Bukan dengan menyogok auta untuk diterima masyarakat sebagai fakta,” ujarnya.
Beliau menyifatkan laporan tersebut sebagai cubaan mencetuskan persepsi negatif terhadap kestabilan politik di Kedah.
Terdahulu, spekulasi mengenai kedudukan Menteri Besar Kedah itu mula tular di media sosial sejak semalam, namun setakat ini tiada sebarang perkembangan rasmi yang menunjukkan berlaku perubahan kepimpinan dalam kerajaan negeri di Alor Setar. – DETIK MALAYSIA