LONDON – Pengurus Arsenal Mikel Arteta memuji aksi cemerlang anak buahnya selepas membelasah Wigan Athletic 4-0 pada aksi pusingan keempat FA Cup 2025/2026 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Berdepan kelab divisyen tiga England itu, The Gunners tidak memberi ruang langsung apabila meledak empat gol dalam tempoh 45 minit pertama untuk menempah tiket ke pusingan kelima dengan penuh bergaya.
Arteta menyifatkan separuh masa pertama sebagai kunci kejayaan pasukannya.
“Kami bermain sangat baik hari ini. Permulaan kami cukup agresif dan berkualiti, sama ada secara berpasukan mahupun individu. Empat gol di babak pertama benar-benar membezakan perlawanan,” katanya kepada TNT Sports.
Pengendali dari Sepanyol itu turut berpuas hati kerana dapat melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama tanpa menjejaskan kualiti permainan.
Menurutnya, jadual padat memaksa beliau mengurus minit permainan dengan lebih bijak bagi memastikan kesemua pemain berada pada tahap terbaik.
“Kami membuat banyak perubahan. Ada pemain yang perlukan minit permainan dan ada tonggak utama yang saya rehatkan. Saya mahu semua pemain bersedia apabila dipanggil beraksi,” jelasnya.
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan Arsenal tiket ke pusingan seterusnya, malah mereka turut mengekalkan rekod tanpa bolos dalam aksi tersebut.
Arsenal kini menanti keputusan undian pusingan 16 terbaik yang dijadual berlangsung selepas perlawanan antara Macclesfield dan Brentford.
Dengan prestasi meyakinkan seperti ini, The Gunners jelas menghantar amaran awal bahawa mereka serius memburu trofi FA Cup musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP