KUALA LUMPUR – Arena bola sepak Asia Tenggara kembali bergelora apabila dakwaan sensasi mengaitkan Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir sebagai dalang di sebalik aduan kepada FIFA berhubung status tujuh pemain naturalisasi Malaysia.
Sebelum ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menamakan Vietnam sebagai pihak rasmi yang memfailkan aduan berkenaan. Namun, laporan terbaharu media tempatan mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ yang menggerakkan operasi tersebut dari belakang tabir.
Menurut sumber yang dikaitkan dengan FIFA dan dipetik Mynewshub, dokumen serta bukti yang dikemukakan kepada badan induk dunia itu didakwa disalurkan menerusi individu perantara yang mempunyai kaitan dengan Thohir.
“Vietnam membuat aduan, tetapi dokumen datang daripada individu yang diupah Erick Thohir. Dia menghantar wakil untuk mengemukakan aduan secara tidak langsung kepada pihak dalaman FIFA,” dakwa sumber tersebut.
Dakwaan itu mencetuskan spekulasi bahawa persaingan Malaysia-Indonesia kini memasuki fasa ‘perang dingin’ di luar padang.
Antara faktor yang disebut-sebut ialah prestasi skuad negara yang semakin meningkat melalui projek naturalisasi dikatakan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pesaing serantau.
Sementara itu, pengaruh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga tonggak transformasi Johor Darul Ta’zim F.C, dilihat sebagai penanda aras baharu bola sepak Asia Tenggara.
Thohir bukan asing dengan kontroversi. Selain memegang jawatan sebagai Presiden PSSI, beliau sebelum ini turut menjadi perhatian susulan kritikannya terhadap mutu pengadilan ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh PSSI mahupun FIFA berhubung dakwaan terbaharu tersebut.
Apa yang pasti, episod ini bakal menambah lagi bara persaingan antara dua kuasa besar bola sepak nusantara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – PSSI