SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyatakan solidariti penuh terhadap Francesca Albanese susulan dakwaan dan serangan reputasi yang didakwa cuba menjejaskan kredibiliti beliau sebagai Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kempen yang menggambarkan kenyataan Albanese sebagai antisemitik amat membimbangkan dan dilihat sebagai usaha untuk melemahkan antara suara antarabangsa yang konsisten membangkitkan isu kemanusiaan di Gaza.
Menurut beliau, kenyataan Albanese yang menyentuh faktor sistemik termasuk aliran kewangan, sistem teknologi dan rantaian bekalan ketenteraan adalah analisis struktur yang sah berasaskan undang-undang antarabangsa serta kerangka hak asasi manusia.
“Analisis tersebut tidak menyasarkan mana-mana agama atau etnik, sebaliknya meneliti struktur kuasa, jurang akauntabiliti dan keputusan dasar. Menyalah tafsir wacana ini sebagai kebencian hanya mengalihkan perhatian daripada isu substantif yang diketengahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mapim turut menegaskan bahawa Pelapor Khas PBB ialah pakar bebas yang diberi mandat untuk memantau keadaan hak asasi manusia, melaporkan pelanggaran, menyediakan analisis perundangan serta memastikan pihak berkaitan dipertanggungjawabkan.
Justeru, sebarang cubaan untuk menekan atau mendiamkan pemegang mandat disifatkan sebagai melemahkan sistem hak asasi manusia antarabangsa itu sendiri.
Dalam pada itu, Mapim melahirkan kebimbangan terhadap kecaman pantas oleh beberapa pemimpin politik terhadap Albanese ketika penderitaan orang awam di Gaza didakwa masih berterusan tanpa akauntabiliti yang setimpal.
“Ketidakseimbangan ini menimbulkan persepsi bahawa respons antarabangsa lebih dipengaruhi penjajaran politik berbanding prinsip kemanusiaan. Kredibiliti hak asasi manusia bergantung kepada konsistensi,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mapimmenegaskan sokongan penuh terhadap kebebasan dan integriti Pelapor Khas PBB, menolak kempen maklumat salah serta komited mempertahankan suara berprinsip yang menuntut akauntabiliti.
“Undang-undang antarabangsa mesti berpaksikan kebenaran, bukan tekanan politik. Usaha mencemarkan kredibiliti beliau harus dilihat sebagai cubaan mengalih perhatian daripada realiti kemanusiaan yang mendesak,” katanya. – DETIK MALAYSIA