PETALING JAYA – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli memberi debaran hebat kepada pasukan MSi Racing Team apabila terlibat dalam kemalangan berkelajuan tinggi ketika ujian rasmi Moto3 di Circuito de Jerez, Ahad lalu.
Dalam insiden mencemaskan itu, pelumba berusia 18 tahun berkenaan tercampak ke kawasan gravel di Selekoh 13 sebelum momentum membawanya menghentam pagar keselamatan udara.
Namun, ‘Harimau Terengganu’ membuktikan ketahanan luar biasa apabila bangkit berdiri dan berjalan meninggalkan jentera yang remuk teruk.
Kemalangan tersebut berlaku pada penghujung sesi ujian pramusim apabila Danish dipercayai hilang cengkaman tayar hadapan (lowside) ketika memasuki selekoh terakhir, antara bahagian paling teknikal dan mencabar di litar Sepanyol itu.
Walaupun hanya mengalami lebam dan tersentak akibat insiden berkenaan, jentera KTM miliknya mengalami kerosakan serius sehingga memaksa kru MSi Racing bertungkus-lumus membaikinya, sekali gus menjejaskan masa tunggangan berharga pada hari terakhir ujian.
“Saya okey dan tidak mengalami kecederaan serius. Selepas dua hari di sini, saya tahu masih banyak yang perlu diperbaiki terutama dalam memahami jentera dan memperkemaskan gaya tunggangan,” katanya.
Sepanjang ujian di Jerez, Danish mencatat masa ke-24 terpantas pada hari pertama dengan 1 minit 47.146 saat sebelum memperbaiki catatan kepada 1:46.204s pada hari kedua, namun berada di kedudukan ke-26 keseluruhan.
Kini, tumpuan beralih ke Asia Tenggara menjelang pembukaan musim 2026 di Grand Prix Thailand pada 27 Februari ini di Litar Buriram. Danish optimis cuaca panas dan lembap di Thailand mampu membantunya mendapatkan kembali ‘feeling’ yang sukar dicapai sepanjang ujian musim sejuk di Eropah.
“Saya percaya Thailand akan sangat berbeza. Saya harap keadaan di sana membantu saya menyesuaikan diri dengan lebih baik dan terus meningkat,” ujarnya penuh keyakinan.
Aksi ThaiGP bakal menjadi pentas penting buat Danish dalam debut musim penuhnya di pentas dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing