JOHOR BAHRU – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menyifatkan kemenangan bersejarah ke atas Vissel Kobe sebagai satu malam yang luar biasa selepas Harimau Selatan mara ke pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite 2025/26.
Kemenangan 1-0 itu hadir dalam suasana penuh dramatik apabila dua jaringan JDT dibatalkan pengadil menerusi percubaan Nené pada babak pertama dan Marcos Guilherme pada separuh masa kedua.
Namun, skuad Harimau Selatan tidak mudah goyah. Sebaliknya, mereka meningkatkan intensiti ‘high-press’ sebelum Marcos Guilherme muncul wira dengan jaringan minit ke-73 yang memadamkan semangat wakil Jepun itu.
“Malam ini luar biasa. Kami dapat keputusan yang diinginkan kerana pemain menunjukkan karakter sebenar mereka. Mereka berikan segala-galanya di atas padang. Inilah semangat yang saya tuntut daripada pasukan ini,” kata Xisco.
Menurut beliau, selain jaringan kemenangan, disiplin taktikal barisan pertahanan turut menjadi faktor utama kejayaan tersebut. Aksi tanpa bolos menentang antara pasukan terbaik Liga Jepun dianggap bukti kematangan dan perkembangan JDT di pentas Asia.
Dalam pada itu, Xisco tidak gentar berdepan cabaran lebih besar di peringkat kalah mati, sama ada berkunjung ke Korea atau China.
“Semakin jauh kita melangkah, semakin kuat lawan yang menanti. Tetapi kami tidak boleh menoleh ke belakang. Kami berada di sini untuk menguji diri dengan yang terbaik dan melihat sejauh mana kelab ini mampu pergi,” ujarnya.
Kejayaan ini sekali lagi membuktikan JDT semakin kukuh sebagai pencabar serius di pentas tertinggi bola sepak Asia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC