ISTANBUL – Juventus terpaksa menelan kekalahan pahit apabila dibelasah Galatasaray S.K. 2-5 pada aksi pertama play-off UEFA Champions League di RAMS Park, awal pagi Rabu..
Biarpun sempat memberikan harapan, kelebihan dua gol skuad Bianconeri lebur dalam tempoh 45 minit terakhir yang menyaksikan mereka hilang arah dan dihukum tuan rumah.
Tonggak tengah Belanda, Teun Koopmeiners, muncul watak utama babak pertama apabila meledak dua gol – jaringan sulungnya musim ini dan dua gol pertamanya dalam kempen Liga Juara-Juara kali ini untuk meletakkan Juventus di depan 2-1 sebelum rehat.
Namun, kelebihan itu gagal dipertahankan. Galatasaray bangkit garang pada separuh masa kedua dengan menambah empat gol, sekali gus mempamerkan kelemahan ketara benteng pelawat.
“Saya fikir kami bermain baik pada babak pertama dan menjaringkan dua gol hebat. Kami berbincang di bilik persalinan untuk mengekalkan penguasaan bola lebih lama, tetapi babak kedua tidak berjalan lancar,” kata Koopmeiners kepada Sky Sport Italia.
Situasi Juventus bertambah parah selepas Juan Cabal dilayangkan kad merah, manakala Gleison Bremer terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan otot.
Walaupun mencetak dua gol, Koopmeiners mengakui dia tidak mampu berasa gembira kerana kekalahan besar itu meletakkan Juventus dalam tekanan menjelang aksi timbal balik di Turin.
“Saya memulakan kerjasama dengan jurulatih ini dengan baik dan menjaringkan dua gol penting, tetapi saya tidak boleh berasa gembira. Ia tidak bermakna jika melihat apa yang berlaku pada babak kedua.
“Kami perlukan sekurang-kurangnya tiga gol pada perlawanan berikutnya,” tegasnya.
Juventus kini berdepan misi sukar untuk bangkit pada leg kedua di Turin jika mahu menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya. Sebelum itu, mereka akan melayan kunjungan Como 1907 dalam aksi Serie A hujung minggu ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Juventus