ISKANDAR PUTERI – Janji ‘Malam Magis’ yang dilaungkan ketua jurulatih, Xisco Muñoz akhirnya menjadi kenyataan apabila Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT) menewaskan Vissel Kobe 1-0 sekali gus mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite 2025/26.
Di bawah limpahan cahaya Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Harimau Selatan membuktikan mereka setaraf kelompok elit Asia dalam aksi yang sarat intensiti tinggi dan debaran campur tangan VAR.
Babak pertama menyaksikan aksi cemerlang kedua-dua penjaga gol. Andoni Zubiaurre membalas kepercayaan barisan kejurulatihan dengan menyelamatkan percubaan berbahaya Jean Patric pada minit ke-20, manakala di gawang lawan, Shuichi Gonda tangkas menafikan rembatan deras Bergson da Silva.
Sorakan ribuan penyokong tuan rumah hampir meledak apabila Nene menemui sasaran dari dalam kotak penalti, namun VAR mematahkan kegembiraan itu selepas tiga pemain JDT dikesan berada dalam kedudukan ofsaid dalam gerakan tersebut.
Bersambung babak kedua, skrip hampir sama berulang. Pada minit ke-58, Marcos Guilherme menyempurnakan hantaran Bergson untuk menjaringkan gol, tetapi sekali lagi bendera ofsaid dinaikkan, menguji disiplin taktikal skuad tuan rumah berdepan benteng kental kelab Jepun itu.
Detik penentuan akhirnya hadir pada minit ke-73. Pemain gantian, Jairo da Silva, muncul wira apabila melakukan hantaran berkualiti tinggi yang membuka ruang buat JDT memecah kebuntuan dan menewaskan Gonda.
Gol tersebut mencetuskan ledakan emosi di SSI dan memastikan kemenangan berharga buat Harimau Selatan. Keputusan itu menyaksikan JDT mara ke pusingan 16 terbaik atas merit sendiri tanpa perlu menunggu keputusan lain. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST