SHAH ALAM – Kem Selangor FC ‘panas’ apabila pengurusan kelab itu tampil menuntut penjelasan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan beberapa keputusan pengadil yang dipersoalkan.
Kontroversi tersebut tercetus ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2025/26 menentang Negeri Sembilan FC pada 14 Februari lalu, yang kini hangat diperdebatkan di media sosial.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Selangor FC memaklumkan pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada FAM selepas melakukan bedah siasat dalaman terhadap perlawanan tersebut.
Fokus utama bantahan adalah keputusan pengadil yang membatalkan dua gol Selangor FC dalam perlawanan berkenaan. Insiden itu turut tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong serta pihak berkepentingan yang mahukan ketelusan.
Walaupun nada kenyataan kekal profesional, mesej yang disampaikan jelas iaitu Selangor FC mahukan penjelasan.
“Kelab telah memohon penjelasan daripada FAM berhubung beberapa keputusan pengadilan… khususnya dua gol yang dibatalkan. Kami percaya FAM memandang serius perkara ini dan akan menilai semula keputusan yang dibuat,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, pihak kelab menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi liar sementara menunggu proses semakan oleh badan induk bola sepak negara tersebut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – NSFC