KUALA LUMPUR – Dua perlawanan berintensiti tinggi bakal menjadi penentu hala tuju pasukan Malaysia sepanjang 2026.
Skuad kendalian Peter Cklamovski itu masih belum membuka tirai aksi tahun ini, namun cabaran yang menanti jelas bukan calang-calang.
Malaysia sebelum ini tampil cemerlang apabila mendahului Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir AFC Asian Cup 2027 dengan mengutip 15 mata hasil lima kemenangan berturut-turut.
Penentuan slot ke pentas AFC Asian Cup 2027 di Arab Saudi bakal dirungkai apabila Harimau Malaya bertandang ke Stadium Thiên Trường, Nam Dinh bagi menghadapi Vietnam pada 31 Mac 2026.
Rekod pertemuan terakhir jelas memihak skuad negara apabila berjaya membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun 2025, sekali gus menyuntik keyakinan menjelang aksi timbal balik itu.
Selepas misi kelayakan Piala Asia, fokus beralih pula ke saingan ASEAN Hyundai Cup 2026 yang dijadual membuka tirai pada 25 Julai 2026.
Dalam kempen tersebut, Malaysia bakal mengharungi saingan Kumpulan B dengan empat pasukan menanti, termasuk seteru tradisi, Thailand national football team pada aksi ketiga kumpulan, 1 Ogos depan.
Pertembungan menentang Thailand dijangka menjadi ujian sebenar kekuatan mental dan taktikal Harimau Malaya, apatah lagi kedua-dua pasukan sering menyajikan perlawanan penuh emosi dan intensiti tinggi.
Bagaimanapun, status sebenar kekuatan skuad negara masih menjadi tanda tanya apabila tujuh pemain warisan Harimau Malaya masih menunggu keputusan daripada Court of Arbitration for Sport (CAS) yang dijadual diumumkan pada 26 Februari ini.
Keputusan itu pastinya memberi impak besar terhadap perancangan taktikal Cklamovski menjelang dua medan penting tersebut.
Segala-galanya kini tertumpu kepada persiapan rapi dan kejelasan status pemain, dalam usaha memastikan Harimau Malaya terus mengaum di pentas antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM