LISBON – Aksi panas perlawanan Liga Juara-Juara antara SL Benfica dan Real Madrid terus berpanjangan apabila kelab Portugal itu dilapor mengemukakan aduan rasmi kepada UEFA terhadap kapten Los Blancos, Federico Valverde.
Insiden tercetus pada minit ke-83 apabila pemain Benfica, Samuel Dahl dilihat terjatuh selepas berlaku kekecohan di kawasan tengah padang.
Kubu tuan rumah mendakwa Valverde melakukan tindakan kekerasan dan menuntut siasatan segera dijalankan badan induk bola sepak Eropah itu.
Bekas pengadil Sepanyol, Eduardo Iturralde Gonzalez turut berpandangan insiden tersebut sepatutnya dihukum kad merah.
“Itu kad merah. Dia melayangkan pukulan tanpa alasan… walaupun tidak memberi impak besar, ia tetap tindakan yang wajar dihukum,” katanya.
Jika UEFA mendapati wujud salah laku serius, Valverde berdepan risiko penggantungan sekali gus terlepas aksi timbal balik di Santiago Bernabéu Stadium minggu depan.
Situasi itu pastinya tamparan hebat buat Real Madrid yang memerlukan kekuatan penuh untuk memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya.
Bagaimanapun, peluang Benfica untuk melihat keputusan diubah dianggap tipis berdasarkan rekod lampau UEFA yang jarang membatalkan keputusan pengadil atau VAR kecuali terdapat bukti kukuh.
Kes berkenaan kini dalam perhatian rapat pemerhati bola sepak Eropah, apatah lagi perlawanan tersebut turut dibayangi isu lain melibatkan Vinícius Júnior.
Keputusan rasmi UEFA dijangka diumumkan dalam masa terdekat, sekali gus menentukan sama ada drama ini benar-benar berakhir atau terus memanaskan suasana menjelang aksi di Bernabeu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP