MADRID – Masa depan penyerang Argentina, Julián Álvarez bersama Atlético Madrid dilaporkan semakin samar apabila namanya hangat dikaitkan dengan perpindahan ke FC Barcelona.
Menurut laporan media Argentina, penyerang berusia 26 tahun itu dikatakan menjadi sasaran utama gergasi Catalan bagi memperkukuh jentera serangan musim depan.
Malah, khabar angin menyebut Álvarez sudah membuat keputusan untuk terus kekal beraksi di La Liga berbanding menerima tawaran kelab-kelab Liga Perdana Inggeris seperti Chelsea FC dan Arsenal FC.
Spekulasi tersebut diperkuatkan oleh wartawan Argentina, Hugo Balassone yang mendakwa kitaran Álvarez di Atletico sudah sampai ke penghujungnya.
“Maklumat yang saya terima, Julian Álvarez akan bermain untuk Barcelona.
“Kitarannya di Atletico Madrid sudah selesai. Musim ini tidak berjalan baik walaupun dia tetap menjaringkan gol,” katanya.
Balassone turut mendakwa pemain itu mahu menyertai pasukan yang berpotensi besar meraih kejuaraan utama dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, perpindahan sensasi itu dijangka hanya akan direalisasikan selepas tamat Piala Dunia 2026.
Jika menjadi kenyataan, Álvarez berpotensi membentuk gandingan berbahaya bersama bintang muda sensasi Barcelona, Lamine Yamal.
“Julian akan bermain di salah satu pasukan terbaik dunia selepas Piala Dunia,” tambah Balassone lagi.
Namun, segala perancangan itu masih bergantung kepada situasi dalaman Barcelona termasuk pemilihan presiden kelab yang baharu.
Presiden semasa, Joan Laporta dilaporkan antara peminat utama Álvarez dan berpotensi memainkan peranan besar dalam merealisasikan perpindahan tersebut.
Buat masa ini, tumpuan Álvarez kekal bersama Atletico, namun spekulasi perpindahan itu dijangka terus hangat sehingga jendela perpindahan dibuka. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP