KUALA LUMPUR – Bekas pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab membuat keputusan mengejut apabila menolak tawaran beberapa kelab Sepanyol demi terus kekal bersama FC Seoul.
Menurut laporan media Korea Selatan, Sports Chosun, khidmat bek tengah berusia 30 tahun itu mula menjadi perhatian beberapa kelab dari La Liga susulan aksi konsisten yang dipamerkannya sepanjang musim lalu.
Nama Yazan semakin melonjak selepas mempamerkan prestasi meyakinkan dalam perlawanan persahabatan menentang FC Barcelona pada musim panas 2025.
Aksi mantap pertahanan Jordan itu sepanjang musim 2025 turut membolehkannya tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik K-League 1.
Bagaimanapun, di sebalik peluang beraksi di Eropah, Yazan memilih untuk memperbaharui kontraknya bersama FC Seoul. Keputusan tersebut diumumkan pengurusan kelab menerusi satu kenyataan rasmi pada Khamis.
Dalam kenyataannya, Yazan memohon maaf kepada penyokong kerana proses pembaharuan kontraknya mengambil masa lebih lama daripada jangkaan atas faktor peribadi.
“Pertama sekali, saya memohon maaf kepada kelab dan peminat atas kelewatan memperbaharui kontrak disebabkan hal peribadi saya. Tetapi kesetiaan dan cinta saya untuk FC Seoul dan peminat tidak pernah berubah.
“Mulai sekarang, lambang FC Seoul bukan sahaja di dada saya tetapi di hati saya. Saya benar-benar berbangga untuk memperbaharui semula kontrak dengan FC Seoul dan berterima kasih kepada kelab kerana sentiasa mempercayai saya,” katanya.
Yazan turut berikrar akan terus memberikan komitmen penuh kepada pasukan.
“Saya akan berikan yang terbaik kepada peminat FC Seoul. Saya berbangga menjadi pemain kelab ini dan akan terus berjuang sehingga ke penghujungnya,” ujarnya.
Sejak menyertai FC Seoul pada 2024, Yazan sudah merekodkan 52 penampilan selain menyumbang satu gol dan satu bantuan jaringan.
Kehadirannya dijangka menjadi sandaran utama kelab itu menjelang pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite (ACLE) selepas FC Seoul muncul antara 16 pasukan yang layak ke peringkat berkenaan.
Keputusan Yazan jelas membuktikan bahawa nilai kesetiaan dan kepercayaan terhadap projek kelab menjadi keutamaannya, biarpun peluang beraksi di Sepanyol terbuka luas – DETIK MALAYSIA
Kredit Foto – Korea Professional Football League