KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) mengecam sekeras kerasnya tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Republik Islam Iran, semalam.
Presidennya, Syed Sheikh Al Attas berkata, serangan yang melibatkan operasi udara dan ketenteraan terkoordinasi ke atas pelbagai wilayah di Iran itu merupakan pelanggaran jelas terhadap prinsip asas hukum antarabangsa dan kedaulatan negara merdeka.
Menurutnya, tindakan tersebut menyerang infrastruktur pertahanan serta kawasan awam ketika rundingan diplomatik sedang berlangsung.
“Serangan ini jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu serta prinsip non agresi antara negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, serangan terhadap Iran bukan sahaja memperburuk ketegangan di Asia Barat, malah berisiko mencetuskan eskalasi konflik lebih luas yang boleh menggugat keselamatan dan ekonomi serantau serta global.
Sehubungan itu, SEJAGAT menyeru komuniti antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam supaya mengecam tindakan berkenaan serta mendesak penghentian segera segala bentuk permusuhan.
Pertubuhan itu turut menggesa tekanan diplomatik dipertingkatkan bagi memastikan semua pihak kembali ke meja rundingan.
“Jalan diplomasi, bukan kekerasan, adalah kaedah terbaik menangani perbezaan antara negara. Penyelesaian bermaruah hanya boleh dicapai melalui dialog dan penghormatan terhadap hukum antarabangsa,” katanya.
SEJAGAT turut menyatakan solidariti kepada rakyat Iran yang berdepan ancaman ketenteraan dan menegaskan dunia tidak mahukan peperangan baharu yang hanya akan menggugat keamanan sejagat. – DETIK MALAYSIA