KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memainkan peranan lebih aktif dalam mempertahankan keamanan global susulan serangan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan yang menyasarkan beberapa bandar utama termasuk Tehran mencetuskan eskalasi berbahaya dan berisiko mencetuskan konfrontasi serantau lebih luas.
Menurutnya, konflik itu bukan sekadar membabitkan Iran dan Israel, sebaliknya membawa risiko terhadap kestabilan keselamatan global, laluan tenaga antarabangsa serta ekonomi dunia.
“Gangguan di rantau Teluk yang kaya dengan sumber tenaga global boleh memberi implikasi besar terhadap harga minyak, perdagangan antarabangsa dan ekonomi negara membangun termasuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah strategik perlu dipertimbangkan kerajaan.
Antaranya, Malaysia perlu mengeluarkan pendirian rasmi mengutuk tindakan ketenteraan unilateral yang melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu serta prinsip kedaulatan negara.
Malaysia juga boleh memainkan peranan melalui ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam dan Pergerakan Negara Berkecuali untuk menyeru gencatan senjata segera serta penyelesaian diplomatik.
Selain itu, Malaysia disaran menyokong mekanisme Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu termasuk mendesak sidang tergempar Majlis Keselamatan bagi mengaktifkan usaha pencegahan konflik.
Kerajaan turut digesa meningkatkan langkah kesiapsiagaan bagi melindungi rakyat Malaysia di Asia Barat termasuk menyediakan pelan pemindahan kecemasan sekiranya keadaan semakin meruncing.
Dalam masa sama, Mapim menekankan keperluan langkah mitigasi ekonomi dan tenaga bagi melindungi rakyat daripada tekanan inflasi dan gangguan rantaian bekalan susulan ketegangan geopolitik.
“Malaysia mempunyai reputasi sebagai negara sederhana dan berprinsip. Negara boleh menawarkan sokongan kepada rundingan damai yang menghormati kedaulatan semua pihak,” katanya.
Beliau menegaskan peperangan bukan penyelesaian pertikaian antarabangsa kerana hanya meningkatkan penderitaan kemanusiaan dan menggugat keamanan dunia.
Malaysia, katanya, perlu berdiri teguh mempertahankan prinsip keadilan, keamanan dan kedaulatan negara dalam mendepani krisis berkenaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI