KUALA LUMPUR – Serangan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap Republik Islam Iran yang disifatkan sebagai eskalasi berbahaya serta mengancam keamanan serantau dan kestabilan global di kecam sekeras-kerasnya.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, laporan mengesahkan operasi ketenteraan berskala besar telah dilancarkan ke atas wilayah Iran dengan letupan dilaporkan berlaku di beberapa bandar termasuk Tehran dan lokasi strategik lain.
Katanya, serangan itu mencetuskan tindak balas ketenteraan balas sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik serantau yang lebih luas.
“Pencerobohan ketenteraan terhadap negara berdaulat tanpa kebenaran undang undang antarabangsa yang jelas merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, khususnya larangan penggunaan kekerasan kecuali untuk mempertahankan diri atau dengan kelulusan Majlis Keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, justifikasi berasaskan dakwaan ancaman nuklear tidak boleh digunakan untuk menghalalkan tindakan ketenteraan unilateral dan pertikaian berkaitan program nuklear perlu diselesaikan melalui rundingan diplomatik serta mekanisme pemantauan antarabangsa.
Beliau berkata, konflik melibatkan Iran berpotensi mengganggu laluan perdagangan maritim, menjejaskan kestabilan negara jiran serta mencetuskan kejutan ekonomi global memandangkan Asia Barat merupakan laluan tenaga utama dunia.
Katanya, penutupan ruang udara di beberapa negara serta langkah kecemasan yang diambil menunjukkan tahap keseriusan krisis berkenaan.
Sehubungan itu, Mohd Azmi menggesa Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu segera mengadakan sidang tergempar Majlis Keselamatan, mengaktifkan mekanisme diplomasi dan pencegahan konflik, menuntut penghentian segera tindakan ketenteraan serta menggerakkan usaha pengantaraan antarabangsa.
“PBB tidak boleh berdiam diri. Kegagalan bertindak tegas berisiko melemahkan kredibiliti sistem antarabangsa dan menormalkan pencerobohan ketenteraan unilateral.
“Keamanan mampan hanya boleh dicapai melalui diplomasi, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan pematuhan kepada undang undang antarabangsa,” katanya.
Mapim turut menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera bagi menghalang eskalasi lanjut demi mempertahankan keamanan dunia. – DETIK MALAYSIA