ISMAILIA – Skuad hoki lelaki negara memulakan kempen Kelayakan Piala Dunia FIH 2026 dengan langkah kanan apabila membenam Austria 6-1 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Hoki Suez Canal Authority, awal pagi tadi.
Anak buah Sarjit Singh yang turun selaku pilihan utama kumpulan bangkit daripada kejutan awal sebelum mempamerkan aksi bertenaga untuk mengutip tiga mata penuh.
Malaysia hampir tersentak seawal minit ketiga apabila Fulop Losonci meledak gol menerusi pukulan penalti untuk meletakkan Austria di hadapan, sekali gus mengejutkan kem negara.
Namun, Speedy Tigers tidak menunggu lama untuk bangkit.
Azrai Aizad Abu Kamal menyamakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi jaringan padang menarik sebelum Shello Silverius meledak gol kedua seminit kemudian untuk memastikan Malaysia mendahului 2-1 menuju waktu rehat.
Bersambung babak kedua, Malaysia yang memiliki ranking lebih baik berbanding Austria yang berada di tangga ke-21 dunia terus menguasai permainan.
Norsyafiq Sumantri melebarkan jurang menerusi gol pukulan sudut penalti pada minit ke-34.
Azrai sekali lagi mencuri tumpuan apabila melengkapkan jaringan peribadi keduanya pada minit ke-44, sekali gus meletakkan Malaysia selesa dengan kelebihan tiga gol.
Akhimullah Anuar Esook menambah derita Austria dengan gol kelima pada minit ke-51 sebelum kapten pasukan, Marhan Abd Jalil menutup pesta jaringan menerusi gol keenam pada minit ke-57.
Kemenangan bergaya 6-1 itu menyaksikan Malaysia kini mendahului Kumpulan B, namun kedudukan masih boleh berubah bergantung kepada keputusan perlawanan antara Pakistan dan China.
Speedy Tigers dijadualkan berdepan Pakistan malam ini dalam aksi yang dijangka menjadi ujian sebenar buat skuad negara dalam misi memburu tiket ke Piala Dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIH