KUALA LUMPUR – Sebarang cubaan menukar rejim sesebuah negara berdaulat melalui kekerasan ketenteraan, tekanan paksaan atau campur tangan luar merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, prinsip kedaulatan dan kebebasan politik sesebuah negara adalah tunjang kepada sistem antarabangsa.
“Sebarang tindakan yang bertujuan melemahkan, menggugat kestabilan atau memaksa perubahan kepimpinan politik melalui cara ketenteraan akan meruntuhkan kestabilan global serta menghakis kredibiliti norma undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, di bawah Perkara 51 Piagam PBB, setiap negara berdaulat mempunyai hak yang sah untuk mempertahankan diri sekiranya diserang secara bersenjata.
Menurutnya, hak tersebut terpakai kepada semua negara tanpa pengecualian dan tiada mana-mana pihak boleh dinafikan hak mempertahankan integriti wilayah, keselamatan rakyat serta kedaulatan negara masing-masing.
Mohd Azmi turut memberi amaran bahawa normalisasi dasar perubahan rejim secara paksaan bukan sahaja mengancam Iran, malah berisiko menggugat keselamatan komuniti antarabangsa secara keseluruhan.
“Jika negara-negara berkuasa dibenarkan menentukan hala tuju politik negara lain melalui kekerasan, keseluruhan kerangka undang-undang antarabangsa berisiko runtuh dan digantikan dengan dominasi geopolitik,” katanya.
Tambah beliau, akauntabiliti mesti dikenakan ke atas semua pihak yang terlibat dalam sebarang bentuk pencerobohan. Negara yang memulakan, menyokong atau memudah cara tindakan ketenteraan yang menyalahi undang-undang boleh dipertanggungjawabkan atas implikasi yang berlaku.
Dalam masa sama, Mapim menyifatkan peningkatan ketegangan semasa sebagai berisiko tinggi terhadap keamanan serantau, kestabilan ekonomi global dan keselamatan antarabangsa.
“Konfrontasi ketenteraan melibatkan kuasa besar boleh mencetuskan konflik lebih luas dengan kesan kemanusiaan yang sukar dijangka, sekali gus menjejaskan jutaan orang awam,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mapim menggesa komuniti antarabangsa untuk mempertahankan Piagam PBB dan menolak campur tangan ketenteraan yang tidak sah, menghormati kedaulatan serta kebebasan politik semua negara, mengelakkan eskalasi konflik, menyokong penyelesaian diplomatik berasaskan keadilan dan undang-undang antarabangsa serta memastikan akauntabiliti terhadap sebarang pelanggaran prinsip undang-undang.
“Keamanan yang berkekalan tidak boleh dibina melalui paksaan atau dominasi ketenteraan. Ia mesti diasaskan atas keadilan, penghormatan terhadap kedaulatan dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI