MADRID – Kelab La Liga, Deportivo Alavés, menghormati keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang menjatuhkan hukuman penggantungan selama 12 bulan ke atas pemain pertahanannya, Facundo Garcés.
Dalam keputusan rasmi yang diumumkan pada 5 Mac lalu, pemain dari Argentina itu didapati dikenakan hukuman tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi sepanjang tempoh tersebut.
Bagaimanapun, sebahagian daripada hukuman itu telah pun dilaksanakan ketika tempoh penggantungan sementara antara 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026.
Bermakna, tempoh penggantungan rasmi Garcés kini diteruskan bermula 5 Mac 2026 sehingga baki hukuman setahun itu selesai sebelum dia dibenarkan kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif.
Meskipun digantung daripada perlawanan rasmi, keputusan CAS turut menetapkan bahawa Garcés masih dibenarkan menjalani latihan serta meneruskan aktiviti profesional bersama pasukan sepanjang tempoh penggantungan tersebut.
Perkara itu membolehkan pemain berusia 25 tahun berkenaan kekal bersama skuad serta mengekalkan tahap kecergasan sementara menunggu peluang kembali beraksi.
Sementara itu, Alavés dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh badan berkenaan.
Menurut kelab itu, mereka akan meneliti sepenuhnya butiran keputusan tersebut sebelum menentukan langkah seterusnya berkaitan situasi pemain terbabit. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Deportivo Alavés