ACEH UTARA – Sebuah koperasi dari Terengganu terus menunjukkan keprihatinan terhadap mangsa bencana apabila menyalurkan bantuan set janakuasa kepada penduduk di Aceh Utara yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.
Bantuan tersebut disalurkan oleh Koperasi Home Stay Teluk Ketapang dengan kerjasama dana kebajikan Fund for Ummah dari Kuala Nerus.
Menurut pengerusinya, M Azmi Md Azis, sumbangan generator set itu bertujuan membantu masyarakat di kawasan Riseh Teungoh yang terjejas akibat bencana alam.
“Ini adalah tanda keprihatinan kami terhadap saudara serumpun di Aceh yang sedang berdepan kesukaran selepas bencana banjir dan tanah runtuh,” katanya.
Bantuan tersebut diterima oleh imam masjid setempat, Tgk Irwan Bin Abdullah bersama beberapa tokoh masyarakat kawasan berkenaan.
Menurut Azmi, genset itu diharap dapat digunakan bagi memudahkan pelaksanaan ibadah di masjid serta membantu aktiviti harian penduduk yang terjejas bekalan elektrik akibat bencana.
Terdahulu, koperasi berkenaan turut menggerakkan kutipan sumbangan daripada pemilik-pemilik homestay di Teluk Ketapang bagi membantu mangsa bencana di Aceh Utara.
Beliau berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk serta memperkukuh hubungan kemanusiaan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Tumpak/Investigasi News