SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan Malaysia mengambil pendirian tegas susulan kenyataan Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang secara terbuka menyatakan sokongan kukuh terhadap Israel ketika lawatan rasmi dan ucapannya di Knesset.
Mapim menyifatkan perkembangan itu membimbangkan kerana ia berlaku ketika rakyat Palestin terus menjadi mangsa kemusnahan dan korban besar di Gaza Strip.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Malaysia tidak boleh berdiam diri atau memberikan respons yang kabur terhadap pendirian pro-Israel tersebut.
“Malaysia mesti bertindak secara berprinsip, konsisten dan berpaksikan keadilan antarabangsa. Keadilan untuk Palestin bukan isu pilihan, tetapi prinsip,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dalam keadaan kemusnahan berterusan dan korban orang awam termasuk wanita serta kanak-kanak, sebarang bentuk normalisasi moral terhadap penjajahan adalah tidak boleh diterima.
Mapim turut menolak amalan dwistandard dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa.
“Jika dunia menuntut pematuhan undang-undang antarabangsa, maka prinsip itu mesti terpakai kepada semua tanpa pengecualian,” katanya.
Sehubungan itu, Mapim menyarankan kerajaan mengambil beberapa langkah segera termasuk mengeluarkan kenyataan rasmi yang jelas menolak pendirian pro-Israel yang menafikan hak Palestin serta menuntut gencatan senjata kekal dan perlindungan orang awam.
Selain itu, Malaysia digesa mengemukakan demarche rasmi kepada kerajaan India melalui Wisma Putra bagi menegaskan pendirian negara.
Mapim juga mencadangkan isu tersebut diangkat di peringkat antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Dalam masa sama, sebarang kerjasama ekonomi, teknologi atau pertahanan yang berisiko mempunyai kaitan rantaian bekalan dengan Israel perlu dinilai secara telus.
“Malaysia tidak boleh terheret secara tidak langsung dalam ekosistem yang mengukuhkan penjajahan,” katanya.
Mapim bagaimanapun menghormati hubungan dua hala Malaysia-India dalam aspek ekonomi dan kerjasama serantau, namun menegaskan ia tidak boleh mengorbankan prinsip keadilan dan maruah kemanusiaan.
“Keadilan untuk Palestin dan penolakan terhadap perang adalah ujian prinsip bagi semua negara yang mendukung keamanan,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA