KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 1/2026.
Menurut kenyataan SPRM, siasatan awal akan dimulakan minggu hadapan bagi meneliti sama ada terdapat kelemahan tatakelola atau unsur jenayah seperti rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa suruhanjaya itu.
SPRM menegaskan siasatan akan dijalankan secara profesional, bebas dan berlandaskan undang-undang tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.
“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti berlakunya kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau undang-undang lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu turut memberi jaminan komitmen untuk memastikan setiap dana awam diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta menjaga kepercayaan terhadap institusi pendidikan tinggi negara. – DETIK MALAYSIA