PETALING JAYA – Selangor FC meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super Malaysia 2025/26 selepas membelasah Imigresen FC 4-0 pada aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi.
Skuad Red Giants mempamerkan aksi dominan di hadapan penyokong sendiri apabila menguasai permainan sejak awal sebelum berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-29 menerusi jaringan Chrigor Moraes.
Selangor menggandakan kelebihan pada masa kecederaan babak pertama hasil jaringan Zikri Khalili untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan 2-0.
Bersambung babak kedua, Selangor terus mengasak kubu pelawat dengan beberapa percubaan berbahaya termasuk daripada pemain import baharu, Victor Pernambuco, namun penjaga gol Imigresen, Zarif Irfan berjaya melakukan beberapa penyelamatan penting.
Bagaimanapun, Chrigor sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-80 sekali gus melebarkan kedudukan kepada 3-0.
Pernambuco kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Selangor menerusi gol keempat pada penghujung perlawanan yang juga jaringan sulungnya bersama pasukan sejak menyertai kelab itu pada 31 Januari lalu.
Kemenangan tersebut menyaksikan Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 39 mata, manakala Imigresen terus berada di kedudukan kesembilan dengan 18 mata. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC