GOMBAK – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di jalan lama Genting Sempah menghala ke Gombak, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.46 malam.
Menurut beliau, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai berkenaan.
Katanya, mangsa lelaki berusia 56 tahun dipercayai tercampak keluar dari kereta jenis Perodua Kancil yang dipandunya sebelum kenderaan itu terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 80 meter.
“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi membawa naik mangsa dari kawasan gaung tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan pada pukul 1.15 pagi.
Kes seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Bomba Selangor