KOTA BHARU – Penolong ketua jurulatih Kelantan The Real Warriors (TRW), Akmal Rizal Ahmad Rakhli merayu pihak pengurusan kelab supaya segera menyelesaikan isu tunggakan gaji yang dihadapi pemain ketika ini.
Menurut bekas pemain kebangsaan itu, masalah berkenaan dilihat mula menjejaskan moral pemain terutama ketika pasukan sedang mengharungi jadual padat dalam saingan Liga Super.
Rayuan itu disuarakan selepas aksi menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang pada 6 Mac lalu.
Ketika ditemui wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam selepas perlawanan tersebut, Akmal Rizal berharap pengurusan dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang melanda pasukan.
“Saya merayu kepada pihak pengurusan, selesaikanlah isu yang sedang berlaku sekarang. Pemain sedang beraksi dalam bulan Ramadan dan kami masih ada enam perlawanan lagi,” katanya.
Menurut beliau, pemain juga perlu melalui jadual perjalanan yang kerap termasuk ke Kuala Lumpur selain mengimbangi persiapan sepanjang Ramadan.
Tambahnya, kelewatan pembayaran gaji mula memberi tekanan dari segi mental kepada pemain yang cuba kekal fokus terhadap komitmen di atas padang.
“Baru-baru ini kami membuat persiapan untuk Ramadan dan tidak lama lagi pemain akan membuat persiapan untuk Hari Raya Aidilfitri, tetapi pada masa sama mereka masih perlu fokus kepada bola sepak.
“Saya percaya perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada mental pemain,” ujarnya.
Difahamkan, pemain Kelantan TRW kini berdepan tunggakan gaji selama dua bulan yang turut mendapat perhatian dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan.
Isu berkenaan sebelum ini turut dibangkitkan penjaga gol pasukan, Azfar Arif Sukri menerusi media sosialnya.
Akmal Rizal berharap masalah tersebut dapat diselesaikan segera agar pemain dapat kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada baki saingan liga termasuk aksi seterusnya menentang Penang FC. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – TRW