SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memberi amaran bahawa konflik yang bermula di Gaza kini berkembang menjadi krisis geopolitik lebih besar yang berpotensi menggugat kestabilan global.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, peperangan berkenaan bukan lagi konflik serantau yang terhad, sebaliknya semakin meluas sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan jutaan orang awam di Asia Barat.
Menurut beliau, Gaza terus berdepan kemusnahan besar apabila kawasan perumahan, hospital dan sekolah rosak atau musnah akibat serangan ketenteraan berterusan.
“Penduduk awam menanggung kesan paling berat apabila bekalan makanan, air bersih, elektrik serta rawatan perubatan kini berada pada tahap kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila konflik tersebut turut merebak ke Iran selepas serangan berskala besar yang dilaporkan menyasarkan beberapa kawasan strategik termasuk ibu negara Tehran pada 28 Februari lalu.
Mohd Azmi berkata, serangan terhadap infrastruktur awam seperti hospital, sekolah dan kawasan perumahan menimbulkan persoalan serius dari sudut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Menurutnya, serangan terhadap sasaran awam jelas melanggar prinsip asas undang-undang antarabangsa yang melarang kemudahan awam seperti hospital dan sekolah dijadikan sasaran ketenteraan.
Beliau turut memberi amaran bahawa konflik yang semakin meluas itu boleh memberi kesan kepada ekonomi global termasuk gangguan terhadap bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz.
“Komuniti antarabangsa perlu segera bertindak bagi meredakan konflik, memastikan perlindungan kemanusiaan serta mempertahankan prinsip undang-undang antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, masyarakat dunia tidak boleh berdiam diri kerana rakyat Gaza dan orang awam yang terperangkap dalam konflik semakin meluas itu berhak mendapat perlindungan, keadilan dan keamanan. – DETIK MALAYSIA