KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi berkaitan melaksanakan operasi bersepadu merobohkan beberapa struktur kediaman, gerai dan stor yang dibina tanpa kelulusan di Jalan Kelapa Muda, Segambut.
Operasi itu disertai Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor Sdn. Bhd. dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut kenyataan DBKL, tindakan penguatkuasaan dilakukan selepas pemilik struktur ingkar terhadap amaran serta Notis Penguatkuasaan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Katanya, premis berkenaan juga tidak mempunyai sebarang kelulusan dan difahamkan dihuni warga asing.
Dalam operasi itu, sebanyak lima struktur dirobohkan melibatkan tiga buah rumah dengan 12 unit bilik, sebuah kedai serta sebuah stor barangan.
TNB turut melaksanakan pemotongan bekalan elektrik setelah kesemua premis berkenaan dikosongkan.
“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa. Orang awam boleh menyalurkan aduan atau maklumat melalui pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” jelas kenyataan itu. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - DBKL