KUALA LUMPUR – Platform padanan perniagaan terbesar negara, SME Bank XCESS 2025, berjaya membuka peluang perdagangan serantau bernilai kira-kira RM45 juta kepada 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran ASEAN.
Bertemakan Entrepreneur Gateway to the ASEAN Market bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, acara anjuran SME Bank itu menjadi pemangkin utama dalam memperluaskan akses pasaran eksport PKS tempatan serta meningkatkan daya saing mereka di peringkat antarabangsa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, PKS kekal sebagai tulang belakang ekonomi negara dengan sasaran menyumbang 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 15 peratus kepada eksport menjelang akhir tahun ini.
“Sebagai pemacu pertumbuhan sektor utama, sumbangan KDNK PKS dijangka melebihi RM1 trilion menjelang 2030. Platform seperti XCESS 2025 amat penting untuk menyepadukan PKS ke dalam ekonomi ASEAN melalui kerjasama strategik yang memperluaskan akses pasaran,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, sebanyak 180 sesi perniagaan berjaya dijalankan melibatkan 20 pembeli ASEAN dengan nilai potensi jualan berjumlah RM45 juta.
“XCESS 2025 bukan sahaja memberi akses pembiayaan, malah turut menyediakan pembangunan kapasiti, jaringan perniagaan, pameran perdagangan, klinik nasihat serta kerjasama strategik yang mampu melonjakkan pertumbuhan PKS,” ujarnya.
Majlis itu turut menyaksikan kerjasama tiga hala antara SME Bank, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan EXIM Bank melalui kemudahan Trade Credit Takaful Facility yang telah mencatat transaksi eksport pertama bernilai RM11.1 juta ke China dan Amerika Syarikat.
Selain itu, memorandum persefahaman (MoU) antara Medic Pets International Sdn Bhd dengan Daukey Kokpar Club dari Kazakhstan turut dimeterai bagi memudahkan pendaftaran produk di negara berkenaan.
Sejak 2016, SME Bank XCESS telah melaksanakan lebih 1,800 sesi perniagaan membabitkan hampir 150,000 usahawan dan bekerjasama dengan hampir 150 rakan strategik, sekali gus menegaskan peranannya sebagai platform utama untuk mengangkat PKS Malaysia ke persada global. - DETIK MALAYSIA
