JAKARTA – Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengambil maklum kejadian gempa bumi berskala 5.7 magnitud yang berlaku di lautan, kira-kira 46 kilometer timur laut Kabupaten Banyuwangi, Jawa Timur pada pukul 4.04 petang waktu Indonesia Barat (WIB) semalam.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Republik Indonesia, gempa bumi dengan kedalaman 12 kilometer itu turut dirasai di beberapa kawasan berhampiran termasuk Penebel, Surabaya, Lumajang, Kuta dan Denpasar.
Bagaimanapun, BMKG mengesahkan tiada ancaman tsunami dilaporkan.
Setakat pukul 9 malam WIB, tiada sebarang insiden melibatkan warganegara Malaysia dilaporkan.
Kedutaan turut menghubungi rakyat Malaysia yang berdaftar dan berada di Banyuwangi, Surabaya serta kawasan berhampiran bagi memastikan keadaan mereka selamat.
“Kedutaan Besar Malaysia akan terus memantau perkembangan dari masa ke masa,” menurut kenyataan rasmi itu.
Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +6281380813036 atau Konsul Kehormat Malaysia di Bali di +62361751953. - DETIK MALAYSIA
