KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif skuad kebangsaan, Rob Friend, meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung kes kelayakan beberapa pemain warisan Malaysia.
Menurut Friend, meskipun terdapat pengurangan terhadap beberapa bentuk sekatan yang dikenakan, keputusan keseluruhan tetap dianggap satu tamparan kepada bola sepak negara.
Beliau berkata, pihak pengurusan pasukan kebangsaan sebelum ini percaya terdapat hujah kukuh yang boleh membawa kepada keputusan berbeza, selain menegaskan pemain yang terlibat menunjukkan sikap profesional sepanjang proses perundangan berlangsung.
“Kami kecewa dengan keputusan keseluruhan oleh CAS walaupun terdapat pengurangan terhadap sekatan yang dikenakan.
“Berdasarkan hujah yang dikemukakan, kami percaya terdapat asas yang kuat untuk keputusan yang berbeza dan para pemain menunjukkan profesionalisme serta integriti sepanjang proses ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Bekas pemain antarabangsa Kanada itu turut menyuarakan kebimbangan mengenai tahap hukuman yang dikenakan yang disifatkan tidak seimbang jika dibandingkan dengan beberapa kes terdahulu yang mempunyai situasi hampir sama.
Menurutnya, dalam kes-kes sebelum ini, pemain yang berdepan situasi serupa tidak dikenakan penggantungan sepenuhnya daripada aktiviti bola sepak seperti yang berlaku kali ini.
“Pada pandangan kami, sekatan yang dikenakan terhadap pemain masih berlebihan dan kelihatan tidak seimbang jika dibandingkan dengan beberapa kes sebelum ini yang melibatkan keadaan hampir sama,” jelasnya.
Friend turut mengakui situasi tersebut memberi tekanan dari segi emosi dan kerjaya kepada pemain serta kelab masing-masing, walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam isu pentadbiran yang menjadi punca kepada kes berkenaan.
Keputusan tersebut turut memberi kesan kepada landskap bola sepak negara termasuk perancangan skuad kebangsaan serta perjalanan kerjaya pemain sepanjang tempoh penggantungan.
Bagaimanapun, Friend menegaskan fokus utama pasukan kebangsaan ketika ini adalah untuk kekal bersatu dan memberi tumpuan kepada perlawanan antarabangsa akan datang.
Malaysia dijadual menentang Vietnam dalam aksi penting yang bakal menjadi tumpuan dalam persiapan menghadapi fasa seterusnya pertandingan.
“Kami perlu berdiri teguh di belakang pemain, memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Vietnam dan memastikan bola sepak Malaysia bangkit lebih kuat serta lebih bersatu selepas pengalaman ini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM