KUALA LUMPUR – Kejohanan Futsal ASEAN 2026 mengalami perubahan jadual selepas pasukan futsal kebangsaan Kemboja menarik diri daripada kejohanan tersebut.
Penarikan diri itu menyebabkan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menyusun semula format peringkat kumpulan bagi memastikan saingan berjalan lebih seimbang.
Sebelum ini, kejohanan yang dijadual berlangsung di Thailand menampilkan sembilan pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu satu kumpulan mengandungi lima pasukan dan satu lagi empat pasukan.
Namun selepas Kemboja menarik diri selepas undian dan jadual perlawanan dimuktamadkan, jumlah pasukan berkurang kepada lapan sekali gus memaksa pihak penganjur merombak semula struktur pertandingan.
Hasil perubahan itu, kedua-dua kumpulan kini diisi empat pasukan bagi memastikan format saingan lebih seimbang.
Berdasarkan undian terkini, Kumpulan A menampilkan tuan rumah Thailand, Vietnam, Myanmar dan Timor-Leste.
Sementara itu, Kumpulan B pula dibarisi Indonesia, Australia, Malaysia dan Brunei.
Saingan peringkat kumpulan akan berlangsung secara liga sepusingan dengan dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke peringkat separuh akhir sebelum penentuan finalis.
Kejohanan tersebut dijadual berlangsung dari 5 hingga 13 April depan di Gimnasium Nonthaburi PAO, Nonthaburi, Thailand, tertakluk kepada sebarang perubahan jadual oleh pihak penganjur.
Kredit foto – FFC