JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) Futsal terus memperkukuh skuad mereka menjelang saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2026 apabila menandatangani bintang futsal antarabangsa Sepanyol, Andres Alcantara Prieto atau lebih dikenali sebagai Andresito.
Pemain berusia 34 tahun itu diperkenalkan secara rasmi oleh kelab menerusi kenyataan di platform rasmi JDT Futsal.
Andresito menyertai pasukan Harimau Selatan dari kelab futsal Jepun, Nagoya Oceans yang merupakan juara bertahan liga futsal utama negara itu.
“JDT Futsal menandatangani pemain antarabangsa Sepanyol, Andres Alcantara Prieto bagi memperkuatkan pasukan menjelang saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2026,” menurut kenyataan kelab itu.
Andresito sebelum ini mencipta nama di pentas antarabangsa apabila membantu Sepanyol muncul juara Kejuaraan Futsal UEFA pada 2016.
Kehadiran pemain berpengalaman itu dijangka mampu memberikan kepimpinan, kecerdasan taktikal serta mentaliti kemenangan kepada skuad JDT Futsal.
Sebelum ini, JDT turut mendapatkan khidmat dua bekas pemain Pahang Rangers iaitu Zainulzahin Sinuan dan Norakmal Norizal.
Selain itu, skuad kendalian bekas jurulatih futsal kebangsaan Bahrain, Joao Almeida turut diperkuat dengan penjaga gol muda skuad futsal Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Ammar Harith Mohammad.
JDT Futsal sebelum ini muncul juara MPFL 2024 dan kini dilihat terus agresif memperkemaskan pasukan bagi mempertahankan dominasi mereka dalam saingan futsal negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JDT Futsal