GEORGE TOWN – Kuching City meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2025/26 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan Gabriel Nistelrooy pada minit ke-40 hasil kesilapan komunikasi di benteng pertahanan tuan rumah.
Situasi itu tercetus selepas tekanan dilakukan Ronald Ngah Wanja yang menyebabkan penjaga gol Penang, Ramadhan Ab Hamid dan kapten pasukan, Stefano Brundo gagal mengeluarkan bola dengan kemas sebelum Nistelrooy pantas menyambar peluang untuk menjaringkan gol.
Gol tersebut bagaimanapun terlebih dahulu disemak menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) oleh pengadil S. Logeswaran bagi memastikan tiada kekasaran berlaku dalam gerakan tersebut sebelum ia disahkan.
Penang cuba bangkit memburu gol penyamaan pada babak kedua, namun kekentalan benteng pertahanan Kuching City memastikan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak terus mengekalkan momentum positif selain berjaya mengumpul 40 mata.
Jumlah tersebut membolehkan Kuching City memintas Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC yang masing-masing mengutip 39 mata sekali gus menduduki tangga kedua liga di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT). – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL