BANDAR SERI BEGAWAN – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut selepas menewaskan Brunei DPMM FC 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.
Kemenangan itu sudah memadai buat skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz untuk memuktamadkan gelaran liga musim ini.
Pada babak pertama, JDT terlebih dahulu mengancam gawang tuan rumah menerusi beberapa percubaan pemain seperti Bergson da Silva, Ajdin Mujagic dan Ager Aketxe.
DPMM yang diketuai penjaga golnya, Haimie Nyaring bagaimanapun berjaya mengekang asakan awal pelawat.
JDT sebenarnya dua kali berjaya membolosi gawang tuan rumah menerusi Mujagic dan Antonio Glauder, namun kedua-dua jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan kedudukan ofsaid.
Gol yang dinanti akhirnya hadir pada minit ke-33 menerusi sepakan percuma menarik Aketxe yang menewaskan penjaga gol DPMM.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, JDT terus menggandakan asakan dengan memasukkan Marcos Guilherme menggantikan Mujagic, manakala DPMM membawa masuk Azwan Ali Rahman untuk menambah kekuatan serangan.
DPMM hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-55 menerusi Hakeme Yazid Said, namun jaringan itu dibatalkan selepas Jordan Murray dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
JDT kemudian menambah dua lagi jaringan menerusi Oscar Arribas pada minit ke-74 sebelum Guilherme meledak gol ketiga tiga minit kemudian menerusi rembatan dari luar kotak penalti.
Situasi semakin sukar buat tuan rumah apabila bekas pemain Penang FC, Fairuz Zakaria dilayangkan kad merah sekali gus memaksa DPMM beraksi dengan 10 pemain.
Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus mengesahkan JDT sebagai juara Liga Super musim ini.
Kejayaan tersebut turut melengkapkan trofi ketiga buat skuad Harimau Selatan musim ini selepas menjulang Piala Sumbangsih dan Piala FA.
JDT kini mengumpul 57 mata di puncak liga, meninggalkan Selangor FC di tangga kedua dengan perbezaan 15 mata, manakala DPMM kekal di kedudukan kelapan dengan 21 mata. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST