GOIÂNIA – Pelumba muda negara, Hakim Danish, mempamerkan aksi penuh disiplin apabila menamatkan sesi Practice di kedudukan ke-12 pada pusingan kedua Moto3 2026 di Litar Autódromo Internacional de Goiânia – Ayrton Senna, Brazil.
Kembalinya MotoGP ke Goiânia selepas kali terakhir pada 1989 jelas memberi aura istimewa, namun cabaran cuaca menjadikan sesi pembukaan lebih getir buat semua pelumba.
Hakim yang mewakili pasukan AEON Credit – MT Helmets – MSi memulakan sesi FP1 dengan pendekatan berhati-hati apabila sekadar mencatat masa ke-13 terpantas, 1:34.914 saat di atas litar basah.
Hujan lebat yang melanda awal pagi memaksa sesi ditangguhkan hampir sejam, sekali gus menyebabkan keadaan trek sukar diramal dengan tahap cengkaman yang rendah.
Namun begitu, pelumba muda negara itu kekal tenang dan bijak menyesuaikan diri.
Apabila keadaan trek semakin baik, Hakim mula menemui rentaknya sebelum mencatat masa lebih pantas 1:30.989 saat, peningkatan ketara hampir setengah saat berbanding catatan awalnya.
Beliau menamatkan sesi dengan jurang +0.729 saat di belakang pelumba terpantas, David Almansa dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP yang mencatat 1:30.260 saat.
Walaupun berada dalam kelompok 14 terbaik, format kelayakan menyaksikan Hakim perlu melalui laluan lebih mencabar apabila terpaksa bersaing dalam sesi Q2 untuk memburu posisi grid terbaik.
Prestasi ini bagaimanapun membuktikan peningkatan keyakinan dan daya saing Hakim di pentas antarabangsa, sekali gus memberi harapan cerah menjelang sesi kelayakan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing