GOIÂNIA – Pelumba muda negara, Hakim Danish, mencipta sensasi apabila meraih petak ketiga (P3) sekali gus memulakan perlumbaan dari barisan hadapan buat kali pertama dalam kariernya di pentas Moto3, pada pusingan kedua Kejuaraan Dunia di Brazil.
Aksi cemerlang pelumba pasukan AEON Credit – MT Helmets – MSi itu hadir tepat pada masanya apabila beliau mempamerkan peningkatan ketara di Litar Autódromo Internacional de Goiânia – Ayrton Senna.
Perjalanan Hakim ke kelompok depan bukan sesuatu yang mudah. Dalam sesi latihan, beliau sekadar mencatat masa ke-12 terpantas dengan catatan 1:30.989 sebelum mara ke Q2. Namun, cabaran berterusan apabila sesi seterusnya menyaksikan beliau berada di kedudukan ke-17 (1:28.132), ketinggalan lebih lapan persepuluh saat daripada pendahulu.
Situasi bertambah mencabar apabila jadual terganggu susulan isu sinkhole di permukaan litar, memaksa semua pasukan menyesuaikan strategi dalam keadaan tidak menentu.
Namun, ketika saat genting, Hakim membuktikan kematangannya. Dalam sesi kelayakan Q2 yang penuh tekanan, beliau tampil dengan tunggangan luar biasa, mencatat masa 1:26.448, hanya 0.207 saat di belakang pelumba Sepanyol, Joel Esteban yang meraih petak utama.
Catatan itu sudah cukup untuk meletakkan Hakim di kedudukan ketiga, sekali gus menghadiahkan barisan hadapan pertama dalam karier Moto3 beliau, satu pencapaian besar buat pelumba muda Malaysia itu.
Keputusan ini memberi isyarat kebangkitan buat Hakim selepas memulakan musim tanpa mata di Buriram sebelum ini.
Dengan keyakinan yang semakin meningkat dan momentum di pihaknya, peluang untuk mencabar kelompok hadapan kini terbuka luas apabila perlumbaan sebenar bermula.
Aksi di Brazil ini berpotensi menjadi titik perubahan penting dalam kempen 2026 beliau. – DETIK MALAYSIA
Kredit Foto – ZK Racing