KUALA LUMPUR – Siasatan menyeluruh, telus dan bebas perlu dilaksanakan berhubung dakwaan melibatkan ahli perniagaan Victor Chin dan isterinya, Chan Swee Ying dalam skandal NexG yang kini berimpak nasional.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, isu yang mendapat perhatian meluas media tempatan dan antarabangsa itu bukan sahaja menyentuh integriti sektor korporat, malah memberi kesan kepada imej negara, keyakinan pelabur serta kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia bersama agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu memberi keutamaan tinggi terhadap siasatan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh.
Katanya, sekiranya terdapat asas bukti mencukupi, tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah perlu diambil tanpa kelewatan, namun prinsip keadilan mesti dipelihara tanpa menghukum mana-mana individu melalui persepsi awam atau tekanan media.
“Jika siasatan mendapati wujud risiko gangguan terhadap saksi, bukti atau kemungkinan melarikan diri, pihak berkuasa perlu mempertimbangkan langkah pencegahan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, isu berkenaan tidak boleh dilihat sebagai pertikaian korporat semata-mata, sebaliknya melibatkan aspek lebih besar termasuk tadbir urus, integriti pasaran modal serta kredibiliti sistem penguatkuasaan negara.
Katanya, sebarang persepsi mengenai kewujudan ‘mafia korporat’ atau campur tangan luar dalam proses undang-undang, jika tidak ditangani tegas, boleh menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat global.
Sehubungan itu, semua pihak diseru memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, selain memastikan tiada kelewatan atau layanan istimewa diberikan kepada mana-mana pihak. – DETIK MALAYSIA