HANOI – Vietnam mempamerkan aksi cemerlang apabila mudah menundukkan Bangladesh 3-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa sempena kalendar FIFA di Stadium Hang Day, malam tadi.
Skuad kendalian Kim Sang-sik itu hanya memerlukan 45 minit pertama untuk ‘membunuh’ permainan dengan aksi tersusun, tajam di jentera serangan serta disiplin taktikal yang tinggi.
Gol pembukaan hadir seawal minit kelapan hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Bangladesh, Zayan Ahmed yang tertampan bola ke gawang sendiri, sekali gus memberikan kelebihan awal buat tuan rumah.
Tidak menunggu lama, Vietnam menggandakan kelebihan menerusi Pham Xuan Manh pada minit ke-18 selepas bijak memanfaatkan kelalaian benteng lawan untuk menewaskan penjaga gol, Hasan Pritom.
Dominasi Vietnam berterusan apabila pemain tengah, Nguyen Hai Long menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-38 menerusi rembatan tepat selepas satu gerakan menyerang yang kemas.
Bersambung babak kedua, Vietnam lebih banyak mengawal permainan dengan pendekatan profesional, sekali gus menutup ruang kebangkitan Bangladesh.
Kemenangan bergaya itu menjadi tonik terbaik buat Vietnam menjelang pertemuan penting menentang Malaysia pada 31 Mac ini di Nam Dinh.
Aksi meyakinkan dipamerkan terutama kombinasi pemain dari Ha Noi FC jelas menunjukkan Vietnam berada pada prestasi terbaik, sekali gus memberi amaran awal buat Harimau Malaya yang kini dalam fasa pembinaan semula.
Pendekatan taktikal Kim Sang-sik juga dilihat semakin menjadi dengan keseimbangan di setiap posisi selain keupayaan menukar penguasaan permainan kepada jaringan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – VFF