KUALA LUMPUR – Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali membuka kisah paling peribadi dalam hidupnya apabila mendedahkan pernah melalui fasa penuh emosi dan tekanan kewangan selepas bersara daripada bola sepak sebelum berjaya bangkit membina semula kehidupannya.
Menerusi Instagram Story bertajuk “Real Story – Story Behind the Door. Been fought for the country and brought glory to the nation”, Safee berkata, ramai melihat kehidupannya kini yang kembali stabil, namun tidak mengetahui segala kepayahan yang terpaksa ditempuhi.
“Ramai melihat kehidupan saya hari ini dan menganggap semuanya datang dengan mudah. Mereka melihat saya tersenyum, bekerja serta membina semula kerjaya dan keluarga.
“Tetapi mereka tidak tahu perjalanan yang saya lalui untuk sampai ke tahap ini,” katanya.
Menurut bekas penyerang Harimau Malaya itu, masyarakat lazimnya hanya menilai apa yang dapat dilihat tanpa mengetahui pengorbanan dan kesukaran yang berlaku di sebalik kehidupan seseorang.
Dalam perkongsian tersebut, Safee turut memberi penghargaan kepada isterinya, Intan, yang disifatkan sebagai individu yang sentiasa berada di sisinya ketika melalui detik paling gelap dalam hidup.
Katanya, isterinya tidak pernah menilai dirinya berdasarkan nama, populariti atau kejayaan ketika bergelar pemain bola sepak, sebaliknya mempercayai seorang lelaki yang sedang berusaha membina semula masa depannya.
Safee berkata, sokongan tidak berbelah bahagi daripada isterinya menjadi antara faktor utama yang membolehkannya bangkit semula.
Beliau turut mendedahkan pernah kehilangan arah selepas berdepan masalah peribadi yang memberi kesan besar terhadap kedudukan kewangannya.
Menurutnya, ketika itu dia terpaksa memulakan kehidupan hampir dari kosong, malah mengibaratkan dirinya seperti seorang lelaki yang tidak memiliki apa-apa selain pakaian yang dipakai.
Safee turut mendakwa segala aset yang dibina hasil titik peluh sepanjang bergelar pemain bola sepak hilang dalam tempoh singkat sehingga memaksanya membina semula kehidupan sedikit demi sedikit.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak memberi reaksi secara terbuka terhadap pelbagai dakwaan atau menceritakan secara terperinci apa yang berlaku.
Sebaliknya, Safee mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada pekerjaan, mencari rezeki dan membina semula kehidupannya secara berperingkat.
Menurutnya, keputusan itu membolehkan dirinya terus melangkah ke hadapan tanpa terus dibelenggu kisah silam.
Safee berkata, pengalaman tersebut banyak mengubah perspektifnya terhadap kehidupan.
Kini, beliau lebih menghargai sebuah keluarga yang dibina atas dasar kepercayaan, keikhlasan dan saling menyokong berbanding segala-galanya.
Beliau juga memilih untuk menjadikan pengalaman pahit itu sebagai pengajaran yang membentuk dirinya menjadi insan yang lebih kuat.
Safee menutup perkongsiannya dengan meluahkan rasa syukur kerana kini menikmati kehidupan yang lebih tenang dan bermakna bersama keluarga selepas berjaya mengharungi antara episod paling mencabar dalam hidupnya.
Meskipun dikenang sebagai antara penyerang terbaik pernah dimiliki negara, perkongsian terbaharunya bukan mengenai jaringan gol atau kejayaan di atas padang, sebaliknya mengenai perjuangan sebenar untuk bangkit semula selepas melalui ujian hidup yang sukar. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
