SEPANG – Formula Satu (F1) secara rasmi mengesahkan kepulangan semula ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 dari 2 hingga 4 Oktober 2026, menggantikan venue asal di Bahrain susulan cabaran geopolitik yang sedang berlaku di Asia Barat.
Perlumbaan itu dijadual berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura, namun masih tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi Majlis Sukan Permotoran Dunia Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Walaupun berlangsung di Malaysia, perlumbaan berkenaan akan kekal menggunakan nama rasmi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix, sekali gus mencipta antara pertukaran venue paling luar biasa dalam sejarah moden F1.
Persetujuan bersejarah itu dicapai hasil kerjasama antara Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia bagi memastikan Grand Prix Bahrain kekal berada dalam kalendar F1 musim 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan di rantau berkenaan.
Formula 1 turut mengesahkan baki jadual perlumbaan musim 2026 tidak mengalami sebarang perubahan.
Bagi peminat sukan permotoran tempatan, pengumuman itu mengakhiri penantian hampir sedekad apabila Sepang kali terakhir menjadi tuan rumah F1 pada 2017 selepas menganjurkan perlumbaan tersebut selama 18 musim sejak membuat penampilan sulung pada 1999.
Sejak itu, SIC terus dikenali sebagai antara litar terbaik dunia dengan menjadi venue tetap Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) serta pelbagai perlumbaan antarabangsa.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, berkata, persetujuan itu membuktikan kemampuan Formula 1 mencari penyelesaian terbaik dalam menghadapi cabaran sambil terus memenuhi harapan peminat di seluruh dunia.
“Kami gembira dapat mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Bahrain Grand Prix pada 2026.
“Sekali lagi, sukan ini membuktikan keupayaannya untuk menyesuaikan diri, mencari penyelesaian dan terus memberikan detik istimewa kepada semua peminat Formula 1,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Putera Mahkota Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta kedua-dua kerajaan kerana merealisasikan kerjasama luar biasa itu.
Menurut Domenicali, Sepang mempunyai tempat istimewa dalam sejarah Formula 1 dan kepulangannya dijangka menawarkan aksi perlumbaan yang hebat serta pengalaman tidak dapat dilupakan kepada peminat.
Sementara itu, Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem, memuji kerjasama semua pihak sambil menegaskan aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan dalam proses membuat keputusan.
Beliau berkata, hubungan erat Malaysia dengan Formula 1 serta peranan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia dan kerajaan negara ini menjadi faktor penting yang membantu merealisasikan kepulangan semula kejohanan tersebut ke Sepang.
“Kembalinya Formula 1 ke Sepang membuktikan hubungan rapat kami dengan Malaysia dan kekuatan kerjasama antarabangsa dalam sukan ini,” katanya.
Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, pula berkata, perjanjian tersebut mencerminkan komitmen berterusan Bahrain terhadap Formula 1 meskipun berdepan cabaran serantau.
“Di sebalik cabaran serantau yang berterusan, Bahrain berbangga menjadi tonggak kestabilan Formula 1 dan kami akan terus melakukan segala yang termampu bagi memastikan perlumbaan ini berlangsung dengan jayanya,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Formula 1, FIA, Litar Antarabangsa Bahrain, SIC dan semua pasukan yang menyokong inisiatif tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan penganjuran perlumbaan itu bukan sekadar acara sukan permotoran, malah simbol persahabatan erat antara Malaysia dan Bahrain.
“Kami berbesar hati dapat menyokong Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan FIA dalam menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang.
“Kerjasama ini mencerminkan persahabatan berkekalan, kepercayaan bersama dan hubungan rapat antara Malaysia dan Bahrain, selain membuktikan kesediaan serta kemampuan Malaysia menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia,” katanya.
Anwar turut memberi jaminan Malaysia bersedia sepenuhnya untuk mengalu-alukan kehadiran semua pasukan, pegawai dan peminat Formula 1 ke Sepang, sekali gus mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia serta layanan mesra negara ini.
Pengumuman tersebut dianggap antara berita terbesar dunia sukan permotoran tahun ini apabila selepas hampir sedekad Formula 1 meninggalkan Malaysia, deruman jentera Grand Prix bakal kembali bergema di Sepang dalam situasi yang cukup luar biasa.
Maklumat penjualan tiket dijangka diumumkan dalam masa terdekat, sekali gus membuka lembaran baharu buat peminat sukan permotoran tempatan untuk menyaksikan semula perlumbaan Formula 1 di Malaysia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Williams
