KUALA LUMPUR – Pertahanan negara, Daniel Ting menegaskan kepentingan meraih kemenangan bagi meningkatkan kedudukan ranking dunia menjelang aksi terakhir Kumpulan F menentang Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027.
Menurut pemain berusia 32 tahun itu, walaupun peluang kelayakan sudah tertutup, skuad Malaysia tetap memburu kemenangan demi maruah dan mata ranking FIFA.
“Kami mahu menang setiap perlawanan. Mungkin tidak beri kesan kepada kelayakan, tetapi masih ada mata ranking untuk diperjuangkan. Kami mahu bangkit dan memperbaiki kedudukan,” katanya.
Kem latihan pusat di Pathum Thani, Thailand juga memberi nafas baharu kepada pasukan selepas sekian lama tidak berkumpul.
“Kami sudah lama tidak berlatih bersama, jadi ini peluang terbaik untuk kembali bersatu. Suasana sangat positif,” ujarnya.
Ting yang baru menyertai kem selepas tugasan bersama Ratchaburi FC berkata, tahap intensiti latihan skuad kebangsaan berada pada tahap terbaik.
Katanya, beliau juga bersedia diturunkan di mana-mana posisi pertahanan bagi memenuhi keperluan ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
“Saya pernah bermain sebagai pertahanan tengah dan kiri, jadi tiada masalah untuk menyesuaikan diri. Di mana sahaja diperlukan, saya sedia,” katanya.
Dalam masa sama, Ting mengakui pengalaman beraksi dalam AFC Champions League Two bersama kelab banyak membantu meningkatkan tahap permainannya.
“Ia pengalaman baharu buat saya, terutama berdepan pasukan kuat dari Jepun. Banyak perkara yang saya pelajari,” katanya.
Beliau turut mengakui beraksi secara konsisten bersama Ratchaburi FC memberikan keyakinan tinggi menjelang pertemuan penting itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM