KUALA LUMPUR – Arena badminton wanita negara dikejutkan dengan keputusan pemain perseorangan, Go Pei Kee yang mengesahkan tidak akan kembali menyertai skuad kebangsaan buat masa ini.
Pemain berusia 22 tahun itu membuat pendedahan tersebut menerusi satu hantaran di media sosial yang menyentuh emosi, selain berkongsi perjalanan peribadinya sepanjang tempoh sukar yang dilalui.
Menurut Pei Kee, beliau amat menghargai semua pihak yang sentiasa menyokongnya termasuk peminat setia walaupun tidak mampu membalas setiap mesej yang diterima.
“Saya berterima kasih kepada diri sendiri dan semua yang membantu saya selama ini. Sokongan anda semua amat saya hargai,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memohon maaf kepada penyokong kerana tidak dapat beraksi sepanjang tahun lalu susulan beberapa perkara di luar kawalan.
“Saya tahu anda tidak melihat saya beraksi tahun ini dan saya minta maaf. Banyak perkara yang tidak dapat dijangka berlaku,” jelasnya.
Pei Kee mengakui tahun 2026 menjadi tempoh refleksi mendalam buat dirinya, malah menyifatkan pengalaman yang dilalui seolah-olah memberi nafas baharu dalam kehidupan.
“Saya rasa seperti dilahirkan semula. Saya belajar banyak perkara, mendengar kisah orang lain dan memahami diri sendiri,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak memandang rendah kemampuan diri kerana setiap individu mempunyai perjalanan dan cabaran tersendiri.
Mengulas mengenai masa depannya, Pei Kee mengakui masih belum mempunyai perancangan jelas dan hanya mahu bergerak selangkah demi selangkah.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, tetapi saya akan teruskan langkah satu persatu,” katanya.
Dalam nada penuh emosi, beliau tidak menolak kemungkinan peminat mungkin tidak lagi melihatnya beraksi di gelanggang dalam masa terdekat.
“Kepada peminat yang sentiasa menyokong saya, saya minta maaf jika anda mungkin tidak dapat melihat saya bermain lagi. Biarlah kenangan indah kekal,” katanya.
Meskipun begitu, Pei Kee tetap positif untuk meneruskan kehidupan dan membuka lembaran baharu, sama ada di dalam atau di luar dunia badminton. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BAM