AUSTIN – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli membuktikan semangat juang tinggi apabila bangkit dari kelompok belakang untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 pada aksi Grand Prix Motosikal Amerika Syarikat 2026 di Circuit of the Americas.
Mewakili pasukan AEONCredit – MT Helmets – MSi, pelumba berbakat itu mempamerkan ketenangan serta kematangan apabila berjaya meraih mata berharga dalam saingan sengit kelas Moto3.
Permulaan perlumbaan jelas tidak memihak kepada Hakim Danish selepas terjatuh ketika sesi kelayakan Q1, sekali gus memaksanya memulakan perlumbaan dari petak ke-25 tanpa catatan masa rasmi.
Keadaan bertambah sukar apabila beliau sedikit terlewat ketika pelepasan, menyebabkan dirinya berada di kelompok paling belakang sebaik perlumbaan bermula.
Namun, anak muda itu tidak mudah mengalah.
Sedikit demi sedikit, Hakim Danish mula mempamerkan rentak sebenar apabila berjaya memintas beberapa pelumba, menembusi kelompok 20 terbaik sebelum terus mara ke posisi pungutan mata dalam kelompok 15 terbaik.
Perlumbaan turut diwarnai insiden dramatik, termasuk kemalangan melibatkan Veda Pratama dan Joel Esteban pada pusingan ketujuh yang memaksa kedua-duanya menamatkan perlumbaan lebih awal.
Hakim Danish bagaimanapun kekal fokus dan bijak mengelak sebarang insiden, sambil mengekalkan konsistensi dalam kelompok tengah yang cukup kompetitif.
Beliau akhirnya melintasi garisan penamat di tempat ke-13 dengan catatan masa 31 minit 39.002 saat, hanya +18.513 saat di belakang pemenang perlumbaan, Guido Pini dari pasukan Leopard Racing.
Keputusan itu membolehkan Hakim Danish mengutip tiga lagi mata kejuaraan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sembilan mata selepas tiga pusingan musim 2026.
Prestasi konsisten ini memberi petanda positif buat pelumba negara itu yang masih dalam proses menyesuaikan diri di pentas dunia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai prospek masa depan sukan permotoran negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing