SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa negara-negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) supaya tidak terus terheret dalam konflik di Asia Barat yang disifatkan semakin meruncing dan berpotensi mencetuskan krisis global.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, peperangan tersebut bukanlah untuk mempertahankan kedaulatan negara-negara NATO, sebaliknya didorong oleh kepentingan geopolitik dan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.
“Ini bukan perang anda. Ia bukan untuk melindungi rakyat atau negara anda, tetapi hasil percaturan politik dan ideologi yang berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesan konflik kini sudah mula dirasai di peringkat global termasuk ketidakstabilan ekonomi, peningkatan kos tenaga, ancaman keselamatan serta kemarahan rakyat yang semakin memuncak.
“Akibatnya tidak lagi terhad. Negara-negara NATO sendiri kini berdepan risiko besar dari segi keselamatan dan kestabilan dalaman,” ujarnya.
Tambahnya, sokongan tanpa syarat terhadap dasar Amerika Syarikat dan Israel hanya akan memburukkan keadaan serta mendedahkan negara-negara terlibat kepada risiko yang lebih besar.
Sehubungan itu, Mapim menggesa NATO supaya bertindak dengan lebih berani dan bebas dalam menentukan pendirian.
Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk menghentikan sokongan terhadap eskalasi ketenteraan, mendesak gencatan senjata segera tanpa syarat serta memperkukuh komitmen terhadap undang-undang antarabangsa.
“Sejarah tidak akan memaafkan sikap berdiam diri atau bersubahat. Ini adalah saat penting untuk menentukan sama ada NATO mahu terus menjadi alat peperangan atau agen keamanan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan bertindak sekarang berisiko menyebabkan konflik tersebut menjadi beban besar kepada dunia pada masa hadapan.
“Dunia sedang memerhati. Jangan biarkan diri terjerumus dalam perang yang bukan milik anda, tetapi akhirnya menjadi tanggungan anda,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA