BANGKOK – Tonggak pertahanan negara, Declan Lambert melaungkan semangat juang tinggi menjelang aksi penting Kelayakan Piala Asia AFC 2027 apabila menentang Vietnam dalam Kumpulan F malam esok.
Pemain Kuala Lumpur City FC itu menegaskan suasana dalam kem Harimau Malaya kini cukup kompetitif, dengan setiap pemain bersaing sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Menurut Lambert, persaingan sihat terutama di posisi pertahanan menjadi pemangkin peningkatan prestasi pasukan.
“Persaingan memang tinggi. Kami ada kumpulan pemain yang kuat, terutama di posisi saya. Ada gurauan, tapi pada masa sama ia persaingan sebenar. Setiap pemain perlu buktikan kemampuan dalam latihan dan yakinkan jurulatih,” katanya.
Tambahnya, situasi itu membantu meningkatkan tahap keseluruhan skuad negara dalam usaha kekal kompetitif di pentas Asia.
Dalam masa sama, Lambert mengakui musim bersama KL City yang bersaing di kelompok atasan liga memberi pengalaman berharga, meskipun hadir dengan tekanan tambahan.
“Ia pengalaman baharu apabila KL bersaing untuk kedudukan kedua. Memang seronok, tapi tekanannya juga tinggi,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau yakin dengan prestasi semasanya yang konsisten.
“Saya rasa prestasi saya baik. Saya bermain dengan baik dan mahu kekalkan konsistensi itu.”
Walaupun peluang Malaysia untuk mara semakin tipis, Lambert menegaskan aksi menentang Vietnam tetap penting sebagai medan membuktikan kemampuan sebenar skuad negara.
“Memang sukar sebab Malaysia hampir tersingkir, tetapi ini masih perlawanan penting. Kami mahu tunjuk kami mampu bersaing dan menewaskan pasukan seperti ini. Ini soal maruah sebagai rakyat Malaysia.”
Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh cabaran fizikal sebagai pemain profesional yang semakin meningkat usia.
“Memang mengecewakan bila usia makin meningkat. Saya hanya perlu kekal sihat dan cergas, kemudian fokus kepada kem seterusnya.”
Aksi menentang Vietnam dilihat sebagai peluang terbaik buat Harimau Malaya untuk mengembalikan keyakinan serta menghantar mesej jelas kepada pencabar serantau. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM