KUALA LUMPUR – Jenama sukan global, Adidas, melancarkan koleksi jersi tempat lawan (away) bagi 25 negara rakan kongsi menjelang Piala Dunia FIFA 2026, sekali gus menghidupkan semula sentuhan klasik dalam rekaan moden.
Daripada jumlah itu, 13 pasukan telah pun layak ke kejohanan berprestij berkenaan yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Koleksi terbaharu itu menggabungkan teknologi prestasi terkini dengan budaya bola sepak retro, termasuk kemunculan semula logo ikonik Trefoil yang jarang digunakan pada jersi kebangsaan sejak tiga dekad lalu.
Setiap jersi direka berasaskan identiti negara masing-masing dengan elemen landskap, seni bina, motif sejarah serta seni budaya tempatan, di samping menampilkan semula corak klasik Piala Dunia seperti bentuk geometri dan garisan menegak dalam sentuhan kontemporari.
Pengurus Besar Bola Sepak Adidas, Sam Handy berkata, pelancaran itu hadir pada waktu tepat menjelang kejohanan terbesar dunia.
“Ketika kita menghampiri Piala Dunia yang besar merentasi tiga negara tuan rumah, ia masa terbaik untuk membawa kembali Trefoil ke pentas bola sepak dunia.
“Budaya bola sepak kini melangkaui padang. Rekaan ini meraikan identiti setiap negara sambil menghubungkan peminat di stadium, jalanan dan komuniti,” katanya.
Dari aspek prestasi, jersi tersebut dilengkapi teknologi CLIMACOOL+ bagi mempercepatkan penyejatan peluh serta meningkatkan penyejukan, sesuai dengan keadaan cuaca berbeza di tiga negara penganjur.
Antara ciri tambahan termasuk fabrik regangan mekanikal untuk pergerakan lebih bebas, material jacquard ringan bagi keselesaan optimum serta jahitan corak herringbone pada bahagian bahu untuk pengudaraan lebih baik.
Beberapa jersi yang mencuri tumpuan melibatkan kuasa bola sepak dunia seperti Argentina, Jerman, Jepun, Mexico dan Sepanyol yang masing-masing tampil dengan identiti unik tersendiri.
Bagi memeriahkan pelancaran, Adidas turut menganjurkan acara khas di Los Angeles dengan menukar Lower Grand Tunnel menjadi festival bola sepak jalanan yang meriah.
Acara itu dianjurkan bersama kolektif kreatif pgLang dan menampilkan persembahan artis terkenal seperti Kaytranada serta Baby Keem.
Semua jersi ‘away’ Adidas itu mula dijual secara global sejak 20 Mac lalu menerusi platform dalam talian dan kedai terpilih.
Dengan gabungan elemen warisan dan inovasi, Adidas dilihat berjaya menetapkan nada awal menjelang Piala Dunia 2026 yang dijangka menjadi antara edisi paling berwarna-warni dari segi budaya dalam sejarah bola sepak dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Adidas