KUALA LUMPUR – Isu sekatan terhadap kebebasan beribadah di Masjid Al-Aqsa serta kelulusan undang-undang hukuman mati oleh Knesset ke atas tahanan Palestin mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan negara Islam dan komuniti antarabangsa.
Situasi itu disifatkan semakin kritikal apabila lapan negara majoriti Muslim mengutuk tindakan Israel yang didakwa menyekat akses ibadah termasuk penutupan pintu masjid sepanjang bulan Ramadan.
Dalam masa sama, undang-undang baharu yang diluluskan pada 30 Mac lalu membolehkan hukuman mati dikenakan ke atas rakyat Palestin atas alasan berkaitan keganasan, sekali gus menerima kecaman meluas.
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan undang-undang itu sebagai diskriminatif dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan segera perlu diambil termasuk bantahan diplomatik bersama oleh Malaysia dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam.
Menurutnya, bantahan tersebut perlu menegaskan dua perkara utama iaitu penghormatan terhadap status undang-undang dan sejarah Masjid Al-Aqsa serta pemansuhan segera undang-undang hukuman mati berkenaan.
“Malaysia perlu bersama negara Islam lain mengeluarkan kecaman rasmi dalam tempoh 24 jam sebagai mesej tegas kepada komuniti antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, satu mesyuarat tergempar peringkat menteri dalam kalangan negara Islam perlu diadakan bagi menyelaraskan tindakan bersama.
Katanya, kecaman awal oleh negara seperti Jordan, Qatar, Arab Saudi, Mesir, UAE, Turkiye, Pakistan dan Indonesia harus dijadikan asas kepada tekanan kolektif yang lebih luas.
Selain itu, aduan rasmi perlu dikemukakan segera kepada badan utama PBB termasuk Setiausaha Agung, Majlis Hak Asasi Manusia serta Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR).
“Permohonan ini mesti menuntut semakan segera terhadap sekatan ke atas Masjid Al-Aqsa dan undang-undang hukuman mati yang bersifat diskriminasi,” jelasnya.
Dalam pada itu, badan undang-undang antarabangsa dan organisasi hak asasi digesa menilai sama ada undang-undang tersebut merupakan bentuk penindasan sistematik serta penafian proses keadilan.
Tambahnya, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan agensi berkaitan perlu melaksanakan pemantauan segera terhadap tahanan Palestin yang berisiko, susulan laporan penyalahgunaan dan kematian dalam tahanan.
Di peringkat masyarakat, institusi masjid, NGO dan badan belia turut diseru menggerakkan khutbah, perhimpunan aman, petisyen global serta kempen media bagi meningkatkan kesedaran antarabangsa.
“Isu ini bukan lagi bersifat tempatan, sebaliknya melibatkan kebebasan beragama dan maruah kemanusiaan sejagat,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan memberi tekanan kepada sekutu Israel agar menentang undang-undang tersebut serta menuntut pemulihan akses penuh ke Masjid Al-Aqsa.
Dalam perkembangan sama, pendekatan media perlu menekankan bahawa sekatan ke atas Al-Aqsa merupakan pelanggaran kebebasan beragama, manakala undang-undang hukuman mati itu disifatkan diskriminatif dan berbahaya.
Sementara itu, beberapa langkah keutamaan turut digariskan termasuk pengeluaran kenyataan kecaman dalam tempoh 24 jam, penyerahan memorandum kepada badan PBB dalam 72 jam serta pelaksanaan kempen advokasi global dalam tempoh seminggu.
Antara tuntutan utama ialah pembukaan penuh Masjid Al-Aqsa kepada jemaah, pemansuhan undang-undang hukuman mati, perlindungan tahanan Palestin serta tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Israel.
Kenyataan tersebut turut disokong oleh Pengerusi Alliance of World Mosques in Defence of Al-Aqsa (MANAR), Syekh Ahmad Awang dan Pengerusi Secretariate Ulama Assembly of Asia (SHURA), Syekh Abdul Ghani Samsudin. – DETIK MALAYSIA