KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempercepat pewartaan dan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik bagi memperkukuh integriti serta menangani rasuah yang semakin kompleks.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim berkata, keperluan itu semakin mendesak memandangkan rasuah kini tidak lagi bersifat konvensional, sebaliknya semakin sukar dikesan susulan perkembangan teknologi dan dunia digital.
“Rasuah kini semakin kompleks, saya boleh katakan ia ibarat kanser tahap empat. Kalau dalam bidang perubatan dikatakan tiada harapan, namun saya tetap menaruh harapan supaya masalah ini dapat ditangani antaranya menerusi pelaksanaan akta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara bertajuk Undang-Undang Baharu: Benteng Integriti Negara terbitan Bernama TV, semalam.
Turut menjadi panel ialah Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Young Syefura Othman.
Menurut Jais, undang-undang berkaitan pendanaan politik perlu disegerakan memandangkan banyak negara lain telah melaksanakannya dengan hasil positif.
“Ini adalah manifesto kerajaan, maka inilah masanya untuk dilaksanakan,” katanya sambil menggesa Ahli Parlimen menyokong usaha berkenaan demi kepentingan rakyat dan negara.
Sementara itu, Young Syefura yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, kerajaan komited mewujudkan undang-undang baharu berkaitan rasuah dan integriti selaras dengan agenda reformasi institusi.
“Saya percaya akan ada penggiliran rang undang-undang berkaitan pendanaan politik ini dibentangkan di Parlimen nanti,” katanya.
Terdahulu, Ketua Wanita UMNO, Noraini Ahmad menyuarakan hasrat agar parti itu menjadi pelopor dalam memastikan akta tersebut diwujudkan bagi melindungi parti serta demokrasi negara.
Menurutnya, menerusi akta itu setiap sumbangan kewangan kepada parti akan direkodkan secara jelas, didedahkan secara telus serta identiti penderma dapat dikenal pasti sekali gus mengelakkan sebarang fitnah dan tohmahan. – DETIK MALAYSIA