NONTHABURI – Hasrat skuad futsal negara untuk membuka kempen dengan kejutan tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Australia dalam aksi Kumpulan B Kejohanan Futsal ASEAN 2026 di Nonthaburi PAO Gymnasium, hari ini.
Anak buah Addie Azwan Zainal bagaimanapun mempamerkan permulaan bertenaga apabila terlebih dahulu mengejutkan lawan seawal minit keenam menerusi jaringan pemain muda sensasi, Adam Rayyan Nor Hisam.
Gol tersebut menyuntik semangat Harimau Malaya futsal untuk bertahan dengan lebih tersusun, sekali gus mengekang asakan bertali arus Australia yang berada di ranking ke-51 dunia.
Keputusan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama, namun skrip berubah sejurus babak kedua bersambung apabila Australia meningkatkan intensiti permainan.
Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil buat skuad kendalian Miles Downie yang menyamakan kedudukan pada minit ke-17 selepas mengambil kesempatan ke atas kekalutan di hadapan pintu gol Malaysia.
Aksi semakin memihak kepada Australia yang terus mengasak sebelum menemui gol kemenangan lima minit sebelum tamat perlawanan hasil jaringan Ethan De Melo.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terlepas peluang untuk mengutip mata berharga, sekali gus perlu bangkit segera menjelang aksi getir menentang Indonesia, naib juara Asia, esok. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM